Monday, October 31, 2011

on

dipetik dari email.
Penulis bersama isteri di Arafah.

Bulan Dzulhijjah

1.     "Sabda Nabi s.a.w, "Tidak ada hari yang lebih baik di sisi Allah untuk lakukan amalan kebaikan selain sepuluh hari terawal dalam bulan Zulhijjah". Para sahabat bertanya, adakah jihad fisabilillah tidak boleh menandingi amalan yang dilakukan pada sepuluh hari tersebut ?” Nabi bersabda, "Jihad pun tidak boleh menandingi melainkan dia keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian tidak pulang dengan keduanya”. (Hr Bukhari)

2.     Daripada Ibnu Abbas telah berkata : Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Tiada daripada hari-hari yang begitu lebih di sisi Allah dan tiada amalan padanya lebih disukai Allah daripada hari-hari sepuluh ini (1 - 10 Zulhijjah). Maka perbanyakkanlah tahlil, takbir maka sesungguhnya ia merupakan hari-hari tahlil, bertakbir dan berzikir kepada Allah. Dan puasa sehari daripadanya menyamai puasa setahun dan beramal padanya digandakan 700 kali ganda. (HR Al-Baihaqi)

Amalan-amalan utama & digalakan
1.     Zikir: Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar. Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28). Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.

2.     Berpuasa: Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa. Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah : "Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim). Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya. Adapun bagi mereka yang melakukan haji makruh berpuasa. Ini pendapat jumhur ulama.

3.     Berkorban: Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32). Sebuah hadis menyebut  ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )

4.     Bertakbir: Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah (9 Dzulhijjah) sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq (13 Dzulhijjah).

5.     Menghidupkan Malam Hari Raya: “Sesiapa menghidupkan malam hari raya fitrah dan malam hari raya korban, nescaya hatinya tidak mati pada hari hati-hati lain mati”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari ‘Ubadah r.a.). Hadis ini menurut Imam Nawawi dalam al-Majmu’; sanadnya adalah dhaif. Namun menurut ulamak, hadis dhaif harus diamalkan dalam fadhilat amalan. (Lihat; Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 426).

6.     Orang perempuan juga digalakan menghadiri perhimpunan solat hari raya. Jika tidak boleh solat, dapat dengar khutbah: Diriwayatkan dari Ummu 'Atiyah ra. ia berkata : Rasulullah saw. memerintahkan kami keluar pada 'idil fitri dan 'idil adha, semua gadis-gadis, wanita-wanita yang haid, wanita-wanita yang tinggal dalam kamarnya. Ada pun wanita yang sedang haid mengasingkan diri dari tempat solat, mereka menyaksikan kebaikan dan mendengarkan khutbah. Saya berkata : Ya Rasulullah bagaimana dengan kami yang tidak mempunyai jilbab? Beliau bersabda : Pinjamlah daripada saudara mara kamu. ( H.R : Jama'ah)

7.     Tidak melalui jalan yang sama waktu pergi dan balik solat hari raya: Diriwayatkan dari Jaabir ra. ia berkata : Adalah Nabi saw apabila keluar untuk solat hari raya ke mushalla, beliau menyelisihkan jalan ( yakni waktu pergi melalui satu jalan dan waktu balik melalui jalan yang lain ). (H.R : Bukhari )

8.     Disunatkan tidak memakan apa-apa sebelum pergi menunaikan solat. Sebaliknya makan selepas solat.

Ibadah Korban & Fadhilatnya
1.     Nabi bersabda, “Sesiapa yang mempunyai kemampuan rezeki untuk menyembelih haiwan korban, tetapi dia tidak mahu lakukan sembelihan korban, maka jangan sekali-kali dia mendekati tempat solat kami”. (Hadis Riwayat Ahmad, Ibn Majah, Darqutni, Hakim)
Majoriti ulama berpendapat hukum sembelih korban adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta.
Manakala Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi yang berkemampuan.

2.     Menambah amal kebajikan. Sabda Rasullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: Maksudnya: “Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan”. (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

3.     Sebagai penebus dosa Sabda Rasullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam kepada Sayyidatina Fatimah:
Maksudnya: “Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu”. (Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)

4.     Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah. Sabda Rasullah Sallahahu Alaihi Wasallam: Maksudnya: “Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla.” (Hadis riwayat Thabrani)

5.     Rasullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda: Maksudnya : ”Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Ta’ala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tunduk-tunduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih.” (Hadith riwayat Tirmidzi)

6.     “Dari Ibnu Umar radiallahu ‘anhuma berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah menetap (mukim) di Madinah selama sepuluh tahun, baginda tetap menunaikan korban”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

7.     “Dimasa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, setiap seseorang lelaki berkorban dengan seekor kambing untuknya dan untuk keluarganya”. (H/R Tirmizi, kitab al-Adhahi 2/1216 (hadis ini disahihkan oleh beliau). Dikeluarkan oleh Ibnu Majah, 2/2546 (dengan sanad yang sahih). Hadis ini disahihkan juga oleh Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani)

8.     Ancaman terhadap orang yang mampu melakukan qurban tetapi tidak melaksanakannya. “Barangsiapa yang mendapati dirinya mempunyai kelapangan/kemampuan (rezeki untuk berkorban), lalu dia tidak mahu berkorban, maka jangan sekali-kali dia mendekati tempat solat kami”. (Hadis Riwayat Ahmad, Ibn Majah, Darqutni, Hakim dan sanadnya hasan. Lihat: Fathul Bari, jld. 10/5. Hadis Mauquf lihat: Bulughul Maram, 1349 dan Ahkam al-I’dain, hlm. 26)
Telah dijelaskan dalam kibab Subulus Salam tentang maksud hadis di atas ini bahawa:
“Hadis ini menunjukkan bahawasanya seseorang dianggap telah meninggalkan suatu kewajipan (korban) yang seolah-olah (baginya) tidak ada manfaatnya, walaupun dia bertaqarrub kepada Allah (solat tetapi sayangnya) dia meninggalkan kewajipan itu (korban)”. (Lihat: Subulus Salam, 4/169)
Larangan memotong rambut dan kuku pada yang berhasrat untuk berkorban

1.     Semua yang terlibat dengan ibadah korban, disunnahkan agar tidak menggunting rambut dan memotong kukunya setelah masuk 1 Zulhijjah hingga ke hari dia berkorban. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang dari kamu hendak berkorban, maka hendaklah dia menahan dirinya dari memotong rambut dan kukunya”. (Hadis Riwayat Muslim, 1977. Hadis dari Ummu Salamah).
2.     “Barangsiapa yang memiliki sembelihan untuk disembelih, maka apabila masuk bulan Zulhijjah, maka janganlah sekali-kali memotong rambutnya dan kukunya sehingga dia berkorban”. (Hadis Riwayat Muslim)
Menurut Imam Nawawi rahimahullah:
“Maksudnya (dari larangan tersebut) ialah: Dilarang memotong kuku dengan gunting dan sebagainya. Dilarang menggunting (memotong) rambut sama ada membotakkan (mencukur), memendekkannya, mencabutnya, membakarnya atau selainnya. Termasuk dalam hal ini (dilarang) memotong bulu ketiak, misai, bulu kemaluan dan bulu yang ada di seluruh badan”. (Lihat: Syarah Muslim 13/138)
Berkata Ibnu Qudamah rahimahullah: “Sesiapa yang melanggar larangan ini (mengunting rambut dan memotong kuku pent.), hendaklah memohon ampun kepada Allah dan tidak ada fidyah baginya, sama ada disengajakan atau terlupa”. (Lihat: Al-Mughni 11/96)

0 comments:

Post a Comment