Sunday, May 19, 2013

on
Dari satu segi, cukai GST adalah adil dalam ertikata siapa guna, dia bayar cukai. Ini akan menguntungkan negara-negara yang saiz sektor ekonomi tidak fomalnya besar (sektor ekonomi tidak formal – mereka yang menjalankan aktiviti ekonomi tetapi tidak berdaftar dan tidak membayar cukai pendapatan – contohnya penjaja pasar malam dan mereka yang menjalankan aktiviti haram seperti menjual barangan tiruan). Demikian juga dengan kebanjiran pendatang asing yang rata-ratanya terlibat dalam pekerjaan kolar biru yang tidak dikenakan cukai pendapatan. Tetapi golongan ini bukan sekadar membeli untuk kegunaan sendiri malah untuk dikirim balik ke negara asal khususnya barangan yang disubsidi seperti gula dan minyak.
Bagaimanapun, yang agak membimbangkan adalah kajian setakat ini menunjukkan pelaksanaan cukai berasaskan penggunaan ini cenderung untuk mengarahkan kepada keadaan di mana golongan yang berpendapatan rendah akan menanggung beban cukai yang lebih tinggi. Bird (2005) menyatakan tidak kira apa kaedah pengiraan yang digunakan, cukai penggunaan secara umumnya bersifat regresif. Ini tidaklah menghairankan disebabkan golongan berpendapatan rendah membelanjakan bahagian pendapatan yang lebih tinggi untuk penggunaan. Dengan kadar cukai yang sama untuk semua, golongan berpendapatan rendah akan menanggung beban yang lebih besar.
Seperkara lagi, kata pengkaji Desai dan Hines (2002), GST tidak semestinya mampu menjana hasil kepada kerajaan sebagaimana diingini. Ia bergantung kepada setakat mana cekapnya pelaksanaan GST. Kajian ke atas negara yang telah menjalankan GST menunjukkan kemampuan GST untuk menjana hasil kepada kerajaan bergantung kepada factor seperti pendapatan per kapita. Lebih tinggi GDP per kapita, semakin berjaya GST. Atau dalam bahasa mudah, GST lebih sesuai untuk negara yang pendapatan penduduknya tinggi.
Mc Carten (2005) dan Aizenman dan Jinjarak (2005) pula mendapati keberkesanan GST bergantung kepada keadaan rasuah dan korupsi dalam sesebuah negara. Kalau negara menghadapi masalah rasuah dan sektor swasta mempunyai pengaruh yang besar dalam kerajaan, maka keberkesanan GST sebagai sumber hasil kerajaan sukar untuk dicapai.
Bird (2005) juga membangkitkan isu yang sama. Jelas Bird, masalah kegagalan cukai penggunaan di negara sedang membangun ini adalah lebih kepada pelaksanaannya. Biasanya, struktur cukai sendiri dipenuhi dengan keistimewaan dan pengecualian kepada golongan tertentu yang menyebabkan akhirnya hasil yang dijana adalah minimum. Atas kertas nampak macam bagus la. Kajian beliau juga mendapati di negara sedang membangun, system audit tidak telus dan tertakluk kepada masalah korupsi. Golongan yang berpengaruh kerapkali mendapat kemaafan atas cukai yang tidak dibayar. Akhirnya, golongan yang terbeban adalah mereka yang tidak mampu melarikan diri daripada cukai – orang awam yang tidak mempunyai pengaruh.
Jelasnya dalam banyak hal, menurut kajian, kegagalan cukai berasaskan penggunaan bukan disebabkan oleh masalah “design”. Design semuanya cantik dah. Tapi masalahnya pelaksanaan. Satu masalah dari segi kemampuan untuk menyediakan jentera pelaksanaan yang benar-benar berkesan – misalnya kutip cukai dan pulangkan rebate cukai dengan cepat. Keduanya, bila disulam dengan rasuah dan korupsi, ditambah dengan pertimbangan kroni, dah tentu apa pun takkan menjadi. Campur tolak, kata kajian – selalunya cukai berasaskan penggunaan di negara sedang membangun, selalunya tidak berupaya membawa kesan yang baik sama ada dari aspek hasil ataupun lain-lain.

0 comments:

Post a Comment